KPLB Komited Lahirkan Usahawan Wanita

Kuala Terengganu: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memfokuskan penyertaan lebih ramai usahawan wanita luar bandar terutama dalam kalangan suri rumah dan ibu tunggal bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

Timbalan Menterinya, Datuk Henry Sum Agong berkata, kementerian menggariskan tumpuan di bawah Teras 6-Wanita berdasarkan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) yang dilancarkan pada tahun lalu bagi merealisasikan usaha itu.

Katanya, ia bertujuan melahirkan wanita luar bandar yang progresif dalam semua aspek kehidupan merangkumi ekonomi, pendidikan, kesihatan, sosial dan kepimpinan.

“Antara usaha yang kita lakukan adalah mengadakan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar bertujuan memperkukuhkan kapasiti wanita luar bandar supaya membabitkan diri dalam program pembangunan dan kemasyarakatan di peringkat komuniti.

“Program ini berupaya membuka lebih ruang dan peluang kepada para wanita untuk saling berinteraksi menambah idea kritis serta berkongsi pengalaman sebagai sebahagian daripada anggota kepimpinan komuniti dan usahawan luar bandar.

“Tahun lalu, hampir 80 peratus daripada 3,101 usahawan wanita luar bandar berjaya melalui seminar kepimpinan ini tahun lalu.

“Bagi tahun ini, kita sasarkan 700 peserta di enam lokasi di seluruh negara,” katanya selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Wanita Luar Bandar Negeri Terengganu, di Hotel Primula Beach di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Alias Harun.

Dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan wanita, Henry berkata, Skim Pembiayaan Perniagaan Dananita (DanaNITA) juga diwujudkan di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Katanya, skim itu menyasarkan usahawan wanita Bumiputera bertujuan memperhebatkan penyertaan wanita dalam aktiviti keusahawanan, memperkasa usahawan wanita sedia ada dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Di bawah DanaNITA, usahawan wanita dikecualikan daripada beberapa syarat asas yang dikenakan dalam skim pembiayaan lain seperti tidak perlu menduduki ujian psikometrik dan tidak diwajibkan membuka akaun semasa.

“Penyediaan skim ini melambangkan keprihatinan KPLB dalam membantu suri rumah atau ibu tunggal yang ingin berniaga tetapi pada masa yang sama perlu menguruskan keluarga,” katanya.

Sehingga kini, terdapat 38,486 usahawan di Malaysia dengan 18,597 daripadanya adalah usahawan wanita manakala di Terengganu, terdapat 2,209 usahawan.

Sumber : hmetro.com.my

Program Memasak Bubur Asyura
placeholder
Tawaran Penyediaan dan Pengoperasian Kemudahan Limbungan (Dockyard) di Pengkalan Utama, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu

Artikel Lain