Projek Pencahayaan di Kawasan Tarikan Tasik Kenyir

6 dan 7 November 2022- Hulu Terengganu.
KETENGAH telah menggunakan teknologi hijau (solar) dalam pembangunan infrastruktur di Tasik Kenyir. Teknologi hijau mengurangkan jejak karbon di samping mewujudkan persekitaran lestari di tasik buatan manusia ini.

Projek Pencahayaan di Kawasan Tarikan Tasik Kenyir merupakan projek yang menggunakan teknologi tersebut dan telah siap pembinaannya. Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, YBhg. Dato’ Ramlan Harun, telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Pencahayaan di Kawasan Tarikan Tasik Kenyir. Pengarah Perkhidmatan Pakar Cawangan Kejuruteraan Elektrik JKR, Ir. Noor Ashikin Md. Tamimi telah menyerahkan projek tersebut kepada Pengurus Besar KETENGAH, YM Dato’ Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa, disaksikan oleh Dato’ Ramlan dan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman bertempat di Pusat Tenaga Hijau, Air Terjun Saok, Tasik Kenyir. Fasiliti-fasiliti pelancongan sentiasa dinaik taraf oleh KETENGAH dalam usaha memberi keselesaan kepada pelancong, pengusaha pelancongan tempatan dan seterusnya menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan utama negeri Terengganu.

Dato’ Ramlan juga dibawa melawat ke tempat tarikan utama Tasik Kenyir iaitu Taman Herba dan Taman Orkid. Beliau mengakhiri sesi lawatan kerja dengan mengunjungi Muzium Bersejarah Bukit Besi.

Lawatan kerja ini turut disertai ketua-ketua agensi KPLB Negeri Terengganu iaitu Pengarah KPLB Terengganu Encik Mohd Faizal Shamsudin, Pengarah KEMAS Terengganu Dr. Faridah Mat, Pengarah RISDA Terengganu, Encik Ronni Pasla Mohamed Yusoff, Pengarah MARA Terengganu Encik Abd Wahab Mustaffa, Pengarah Giat Mara Terengganu, Encik Majid Ahmad dan Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad, Timur Zainal Abidin Haji Alias.

Hari Integriti dan Psikologi KETENGAH 2022
Program Belia Keluarga Malaysia-KETENGAH Cakna Kampung Wilayah KETENGAH

Artikel Lain